Anda Bertanya

Nama:
Email Anda:

create form

Lokasi Kami

Wednesday, January 26, 2011

Lawatan Tun Mahathir 19 Januari 2011





Tun Mahathir naungi KAMAL KANOPI & KATERING?


Sensasi tak, tajuk post kali ini?

Ha ha!
Buat gempau aje. Sebenarnya KAMAL KANOPI & KATERING membekalkan peralatan kanopi untuk satu majlis di MARINA MELAKA yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Khalil Yaakub, Tun Dr. Mahathir dan Ketua Menteri Melaka pada Rabu, 19 Januari 2011 jam 2.30petang.

Cuaca baik sepanjang hari, cukup melegakan kami. Sedikit sebanyak jika hujan, akan menggangu kelancaran majlis. Ditambah pula majlis di langsungkan di kawasan tebusguna tanah yang kini menjadi marina kapal perlayaran. Padang agak becak, kesan hujan yang turun sehari sebelum majlis. Cuma tiupan angin yang sukar dijangka memerlukan kanopi dipacak sekukuhnya.

Teringat kami satu majlis di Lapangan Terbang Batu Berendam di tahun 2007. Acara demontrasi pesawat unmanned aerial vehicles (UAV) oleh syarikat CTRM kepada Menteri Pertahanan (ketika itu) DS Najib Tun Razak.

Apabila pesawat helikopter Nuri membuat pendaratan kira-kira 100 meter dari kanopi yang KAMAL KANOPI & KATERING sediakan, kekuatan angin dari kipas Nuri bila-bila masa sahaja cukup untuk menerbangkan kanopi. Syukur tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Berbalik acara yang dihadiri Tun Mahathir selain kanopi lengkap lelangit serta skallop, kerusi bersarung peralatan yang turut disediakan adalah karpet merah sepanjang 500 meter, kipas mist cooling fan 12 unit.

KAMAL KANOPI & KATERING berbangga diberi kepercayaan untuk majlis yang dihadiri Negarawan, Tun Dr. Mahathir & Tun Dr. Siti Hasmah.

Tuesday, January 11, 2011

Ujian kesihatan sebelum kahwin

SETIAP orang mengimpikan perkahwinan yang indah dan bahagia. Ada yang sanggup berhabis berpuluh ribu ringgit semata-mata mahukan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang walaupun terpaksa berhutang.

Selain persiapan material, ada satu lagi persediaan penting yang perlu anda dan pasangan lakukan sebelum melangsungkan perkahwinan iaitu menjalani ujian kesihatan.

Ujian ini membantu mengenalpasti masalah kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi pasangan dan anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemophilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 adalah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Daripada jumlah tersebut 70 peratus dijangkiti virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Antara ujian lain yang turut disarankan adalah saringan untuk penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Talasemia dianggap antara penyakit genetik yang lazim membabitkan hampir tujuh peratus penduduk dunia. Di seluruh dunia dianggarkan 100,000 bayi dilahirkan menghidap talasemia major (teruk).

Bagi pembawa genetik talasemia (juga dikenali sebagai talasemia minor) biasanya tidak mengalami sebarang gejala; atau jika ada ia sangat ringan seperti keletihan yang dianggap 'masalah biasa' dan ia hanya dapat dikesan melalui ujian darah.

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan adalah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Ujian kesihatan pra perkahwinan bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif.

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang bakal dihadapi kelak pada pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatandemi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian pelanggan Pathlab 03-7882 6888.

DR. L. Y. Kam ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB.

Monday, January 10, 2011

Belanja Kahwin

Belanja kahwin ‘ukur baju di badan sendiri’


Perbelanjaan perkahwinan biar bersederhana dan ikut kemampuan. – Gambar hiasan


MENGADAKAN majlis perkahwinan secara besar-besaran semakin menjadi ikutan khususnya di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Majlis-majlis sebegini sudah tentu menelan belanja besar sehingga puluhan dan ratusan ribu ringgit.

Keadaan ini sudah tentu ‘menggerunkan’ anak-anak muda yang merancang untuk berkahwin apatah lagi yang baru berkerja.

Dalam hal ini bakal pengantin sepatutnya mengambil sikap ‘ukur baju di badan sendiri’, - berbelanja mengikut kemampuan.

Kerana ingin mengikut trend jangan sampai menjerat leher sendiri apabila terpaksa perlu berhutang di sana sini sehingga akhirnya memporak-perandakan rumah tangga yang baru dibina.

Mega : 11/1/11.

Sunday, January 9, 2011

Galeri Anis Hartini Part 1





Saturday, January 8, 2011

Anis Hartini & Hanafi 2011.


Alhamdulillah.


KAMAL KANOPI & KATERING melangkah masuk tahun 2011 dengan majlis perkahwinan gemilang pasangan Anis Hartini dan Hanafi di Kandang, Melaka.

Anis Hartini amat tertib dalam perancangan perkahwinan. Iye lahhh...hari berbahagia. Siapa yang tidak mahu kesempurnaan ... ? Kalau tidak sempurna, berjalan lancar sudah cukup melegakan.

Itu lah yang kami dapat disimpulkan sesudah majlis persandingan tamat. Amat-amat tersenyum puas, usai majlis masih berarus ketibaan rakan rapat pasangan pengantin ini yang berkerjaya di Kuala Lumpur.

Anis, antara pelanggan kami yang telah membuat homework, telah visualized majlis yang bakal berlangsung. Kami turut terkena tempias dek 'kecerewetan' beliau seolah-olah menduga keupayaan kami mengendalikan majlis perkahwinan berbajet besar.

Kerjasama rapat seisi keluarga Anis dengan sembangbual mesra sebulan sebelum majlis berlangsung jelas memudahkan KAMAL KANOPI & KATERING merencana yang terbaik.

Kepada bakal pengantin yang lain, jangan tunggu di saat akhir.

Friday, January 7, 2011

Hantaran

Hantaran sepadan kos belanja kahwin


Di samping wang, hadiah-hadiah mewah lain juga semakin menjadi ikutan dalam pemberian hantaran perkahwinan masa kini. - Gambar hiasan


HAL perkahwinan atau 'membina masjid' merupakan satu kewajipan bagi pasangan yang berkemampuan dari segi rohani dan jasmani.

Tetapi pernahkan terfikir, selama ini khususnya ibu bapa dan juga pasangan yang ingin berkahwin kini beranggapan perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah malah ia sesuatu yang menyusahkan.

Ini kerana senario wang hantaran perkahwinan yang dikenakan oleh pihak perempuan sekarang ini pastinya tidak kurang daripada RM5,000.

Bayangkanlah perbelanjaan daripada majlis pertunangan, persiapan kenduri dengan pelaminnya, persiapan pasukan kompang dan banyak lagi, mungkin jika dibuat pinjaman, sehingga sudah beranak pinak pun, pinjaman bank masih belum tentu habis dibayar.

Pendek kata, kalau setakat belanja perkahwinan sebanyak RM10,000, ia satu jumlah yang belum cukup sempurna dengan harga pelbagai barangan ketika ini cukup mahal.

Tetapi jika dilihat kembali tujuan mengadakan kenduri kahwin ia adalah untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa pasangan tersebut telah pun berkahwin seterusnya untuk mengelakkan fitnah.

Menurut perunding perkahwinan Kampung Pengantin Kuala Lumpur, Syed Nahar Syed Hassan, senario hari ini tidak boleh dibandingkan dengan senario 10 tahun yang lalu.

Ini kerana, ujarnya, keadaan banyak sudah berubah termasuk harga barangan yang semakin hari semakin naik.

''Kita berbicara mengenai hari ini di dalam zaman milineum di mana sekiranya sesuatu majlis perkahwinan diadakan di bandar-bandar besar, paling minimum pun ia memerlukan sekurang-kurangnya RM15,000 yang merangkumi makanan untuk jemputan seramai 500 orang, kad jemputan, kanopi dan pelamin.

''Jika hendak dibandingkan dengan kawasan luar bandar, perbelanjaannya mungkin murah sedikit tetapi tidak kurang daripada RM7,000.

''Kos tersebut sedikit sebanyak disebabkan harga barangan keperluan yang semakin meningkat serta kos hidup yang tinggi,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Oleh yang demikian, tambahnya lagi, wang hantaran merupakan satu keperluan semasa yang dilihat mampu meringankan beban untuk mengadakan kenduri kendara.

Syed Nahar juga tidak menafikan, wang hantaran yang semakin meningkat tinggi disebabkan trend-trend semasa di mana rata-rata jumlahnya tidak kurang daripada RM5,000 bagaimanapun beliau menambah, memadai sekiranya wang hantaran yang dikenakan sekitar RM8,000 hingga RM10,000.

Dalam pada itu, beberapa pasangan ibu bapa yang ditemui menyatakan wang hantaran tinggi pada zaman ini adalah sepadan dengan perbelanjaan serta persedian untuk majlis perkahwinan.

Bagi pasangan Zakaria Ahmad dan Asiah Yusoff, 59, tiada istilah wang hantaran tinggi jika hendak dibandingkan dengan harga barangan yang semakin meningkat hari ini.

Tetapi bagaimanapun, menurut pasangan ini, ia (wang hantaran) juga haruslah berpada-pada jangan hinggakan ada yang beranggapan 'menjual anak'.

''Seelok-eloknya wang hantaran di bawah RM10,000 kerana sekiranya lebih daripada jumlah tersebut pandangan masyarakat mungkin melihat ia seolah-olah kita 'menjual anak' (sekiranya sebelah pengantin perempuan).

''Tetapi jika dilihat kembali dengan serba serbi yang semakin meningkat jumlah tersebut dilihat bukanlah satu jumlah yang tinggi, malah ia tidak membebankan kerana hari ini rata-rata ramai yang sudah mempunyai kerjaya yang mantap.

''Walaupun begitu, hari ini dapat dilihat senario ibu bapa 'berlumba-lumba' meletakkan harga wang hantaran anak perempuan mereka seperti menjadi satu trend. Malah tidak dinafikan bahawa isu wang hantaran sering menghantui pasangan sebelum berkahwin terutama kaum lelaki,'' ujar mereka.

Tambah pasangan ini lagi, sebaik-baiknya kos perkahwinan perlu sederhana dan mengikut kemampuan seseorang dan perbelanjaan yang ingin dikeluarkan perlu difikirkan dengan baik agar tidak menjadi beban selepas berkahwin.

Bagi pasangan Zakaria Nor, 65, dan Leha Mat Sah, 55, pula, jumlah wang hantaran hari ini tidak dilihat satu jumlah yang tinggi malah jumlah tersebut dilihat angka yang biasa untuk persediaan majlis perkahwinan.

''Pada masa ini wang hantaran RM10,000 ke atas adalah satu jumlah yang standard kerana kadang kala persediaan untuk sesuatu majlis perkahwinan melebihi jumlah tersebut.

''Kos perkahwinan mahal mungkin berpunca daripada keadaan sekarang yang sudah berubah dan hari ini segala-gala memerlukan duit.

''Sekiranya kos perkahwinan tinggi, pihak lelaki dan perempuan boleh berbincang lagi pun pada zaman sekarang semua perkara boleh dibawa berbincang untuk kebaikan bersama,'' kata mereka ketika dihubungi, baru-baru ini.

Mereka turut berpendapat, seseorang lelaki yang hendak mendirikan rumah tangga mesti membuat persiapan dan mula menyimpan duit daripada awal.

Kata mereka lagi, wang hantaran sememangnya menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk dipenuhi. Jika dilihat dari sudut kebaikannya, ia umpama persediaan awal seseorang bakal suami untuk menanggung tanggungjawab sebelum memulakan kehidupan berkeluarga.

Pastinya usaha mengumpul wang hantaran ini mampu mengajar tanggungjawab sebenar si lelaki sebelum bergelar suami yang bakal menanggung isteri dan bakal anak-anak.

Secara puratanya kadar wang hantaran pada masa sekarang ialah sekitar RM8,000 hingga RM10,000 dan berdasarkan keadaan ekonomi negara ini ia mungkin dianggap munasabah.

Amnya, wang memainkan peranan penting dan berperanan utama dalam setiap urusan kehidupan tidak kira walau di mana kita berada, sama ada duduk di bandar ataupun kampung.